

CAWANGAN MELAKA
MENGENAI SKMM
Suruhanjaya Koperasi Malaysia Cawangan Negeri Melaka (SKM Melaka) adalah sebuah Badan Berkanun Persekutuan yang diamanahkan untuk melaksanakan fungsi-fungsi dan kuasa-kuasa tertentu Suruhanjaya di peringkat negeri. Suruhanjaya ini menguatkuasakan Akta Koperasi 1993 (Akta 502) pindaan 2007. Dan Peraturan-Peraturan Koperasi 1995. Sebelum itu, Jabatan ini menguatkuasakan "The Co-operative Societies Enactment (FMS Cap.97) of 1922", "Co-operative Societies Ordinance 1948".
Pada Tahun 1960 an hingga 70-an, Jabatan Pembangunan Koperasi Melaka di namakan Jabatan Kemajuan Kerjasama Melaka. Ketika itu, Jabatan ini dan Jabatan Kemajuan Kerjasama Negeri Sembilan di bawah pentadbiran seorang Pesuruhjaya Kemajuan Kerjasama yang berpejabat di Negeri Sembilan. Jabatan Kemajuan Kerjasama Melaka pula diketuai oleh Penolong Pesuruhjaya Kemajuan Kerjasama Melaka yang berpejabat di Bangunan Stadhuys, Banda Hilir.
Pertengahan tahun 1978, Jabatan Kemajuan Kerjasama Melaka telah berpindah dari Bangunan Stadhuys, Banda Hilir ke Bangunan Wisma Persekutuan, Jalan Hang Tuah dan namanya ditukarkan kepada Jabatan Pembangunan Koperasi Melaka. Jabatan ini di Ketuai oleh Pengarah Pembangunan Koperasi dan wilayah penyeliaan dibahagikan kepada empat Wilayah iaitu Wilayah Melaka I, Wilayah Melaka II, Wilayah Melaka III dan Wilayah Melaka IV. Setiap Wilayah di ketuai oleh seorang Penolong Pengarah atau Penolong Pegawai.